KLFA Jadi Rebutan Tiga Jurulatih Eropah

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur boleh dikatakan ‘h0t sp0t’ atau tumpuan jurulatih tempatan dan asing apabila menerima lebih 10 permohonan daripada individu yang berminat mengendalikan skuad The City Boy pada musim depan.

Malah, ketika ini, sekurangnya lima permohonan daripada jurulatih asing diterima Kuala Lumpur sekali gus memberi bayangan bahawa pasukan terbabit bakal ‘berwajah’ baharu dan bersedia memberikan saingan kepada pasukan lain.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, ketika ini pengurusan agak ‘pening’ untuk memilih jurulatih baharu memandangkan masing-masing mempunyai latar belakang yang hebat dan memenuhi kriteria yang ditetapkan mereka.

Beliau berkata, KLFA menerima tawaran daripada jurulatih Portugal, Jerman dan Australia setakat ini namun keputusan terbabit akan ditentukan pada awal November.

”KLFA ada menerima banyak permohonan daripada jurulatih tempatan dan asing malah ada antaranya cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan.

”Namun, setakat ini tiada keputusan lagi dibuat untuk memilih jurulatih terbabit kerana kita mahu meneliti terlebih dahulu individu yang benar layak untuk mengendalikan Kuala Lumpur.

”Walaupun ketika ini ada beberapa nama bertiup kencang akan mengendalikan Kuala Lumpur, namun saya boleh katakan itu hanyalah khabar angin saja kerana pemilihan belum dilakukan lagi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad Kuala Lumpur pada musim 2019 boleh dikatakan agak bernasib malang apabila menjadi pasukan yang disingkirkan ke Liga Perdana selepas menghuni tangga tercorot Liga Super.

Pasukan terbabit cemerlang beraksi di Liga Perdana untuk musim 2020 sekali gus mengiringi Pulau Pinang beraksi di liga utama musim depan.

Sementara itu, Nokman berkata, pengendali Kuala Lumpur ketika ini Mohd Nidzam Adzha Yusoff akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemain sedia ada untuk disenaraikan pada musim depan. ”Nidzam lebih memahami dan mengetahui pemain sesuai serta layak disenaraikan untuk musim depan kerana kita mahukan pembaharuan iaitu mengelak tersingkir lagi dari Liga Super,” katanya.

sumber:HM