Belum Masanya Sarung Jersi Malaysia- FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menolak khabar angin mengatakan Marcel Kalonda mempunyai peluang cerah menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam memberitahu, FAM masih lagi meneliti semua dokumen yang sudah dihantar pemain dilahirkan di Congo itu, bagi membuktikan kaitan beliau dengan Malaysia.

“Beliau telah menghantarkan beberapa dokumen sebagai bukti kepada FAM minggu lepas, dan kami masih lagi meneliti semua dokumen tersebut dengan pelbagai pihak berkuasa dan kami juga telah meminta beliau untuk mengemukakan beberapa lagi dokumen berkaitan sebagai bukti, sebelum kami boleh membawa ke peringkat seterusnya.

“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada beliau boleh mewakili pasukan negara, tetapi apa yang saya tahu kami masih di peringkat awal menilai perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Stuart juga mendedahkan yang Kalonda perlu menjalani beberapa proses lagi, sebelum badan itu membuat keputusan sama ada beliau boleh menyertai pasukan kebangsaan atau tidak.

Sementara itu mengenai status Harry Edge pula, Suart menyatakan yang pemain kelahiran New Zealand itu tidak berminat untuk mewakili Malaysia.

Perkara itu timbul, berikutan bapa Edge, Declan Edge mendakwa di media sosial yang anaknya terbuka untuk mewakili Malaysia kerana beliau telah dilahirkan di Melaka, manakala Kalonda mendakwa yang datuknya berasal dari Sabah.

Harry Edge kini bermain untuk Kelab Sweden Torslanda IK, manakala Kalonda di Liga Zambia.