Pemain Import Liga M Cap Ayam

PEMAIN import yang mewarnai Liga Malaysia (Liga M) ketika ini boleh dikategorikan sebagai tiada kualiti dengan prestasi mereka hanya indah khabar dari rupa seterusnya tidak membantu dalam meningkatkan mutu industri bola sepak negara.

Malah, ada antara awang import terbabit beraksi lebih buruk daripada pemain tempatan namun dibayar dengan gaji puluhan ribu sekali gus yang menanggung kerugian adalah pasukan atau kelab disertai mereka.

Perkara terbabit sudah lama berlaku apabila pasukan lebih mengutamakan kuantiti daripada kualiti dengan masing-masing sibuk memenuhi kuota pemain import berbanding mencari yang berkualiti dalam membarisi kesebelasan utama.

Ia diakui bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail sudah tiba masa pasukan Liga M mengambil awang import yang ada nama seperti bekas pemain pemain Manchester City Yaya Toure untuk mewakili mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata, standard pemain yang pernah mewakili negara di Piala Dunia atau beraksi di liga popular dapat menarik lebih ramai lagi penyokong ke stadium seterusnya meningkatkan lagi mutu bola sepak negara yang perlu ditambah baik menerusi pengalaman individu terbabit.

Saya akui sekarang ini kebanyakan pemain import Liga M cap ayam iaitu hanya dipilih untuk memenuhi kuota saja seterusnya aksi dipamerkan biasa saja.

Jika berkemampuan lebih baik ambil pemain ada nama, jika tidak mampu Toure, boleh cuba pemain lain seperti bekas pemain Barcelona iaitu Ronaldinho kerana teknik yang ada padanya boleh dipelajari pemain tempatan.

Jika ada pasukan yang mahu mengambil pemain ternama menunjukkan Liga M sudah mula mendapat perhatian bekas bintang dunia dan tidak perlu pun membayar ramai pemain import cukup saja dua atau tiga saja dalam satu pasukan, katanya.

Sebelum itu, bekas pemenang empat kali Anugerah Pemain Afrika Terbaik Tahunan itu menyatakan hasrat untuk beraksi di Asia Tenggara sebelum menggantvng but selepas hampir 20 tahun bergelar pemain profesional.

Menerusi laporan media antarabangsa oleh CEO agensi Harcus Consultancy Group Richard Harcus mengesahkan Toure sangat berminat untuk menimba pengalaman beraksi di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan Khalid Ali berkata, sudah tiba masanya pasukan Liga M mengambil pemain import yang pernah beraksi di Piala Dunia atau liga ternama di luar negara.

Pemain berkenaan bukan saja sekadar beraksi di liga utama namun tetap membarisi kesebelasan utama pasukan masing-masing sekali gus mampu menerapkan cara permainan kepada pemain tempatan, katanya