Aidil Dah Tak Tahan

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak semakin bimbang mengenai isu tunggakan gaji yang masih berlarutan dan berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) segera menyelesaikannya.

Beliau yang kini berada di Singapura berkata, isu itu yang masih tiada jawapan dan kini memberi kesan terhadap semangat dan moral pemainnya yang selama ini tertanya-tanya berkaitan isu berkenaan.

Ya, secara jujur saya dan pasukan semakin risau memikirkan isu tunggakan gaji yang yang belum selesai lagi. Jadi, kami masih menantikan jawapan terhadap persoalan itu.Saya berharap dengan perubahan kepimpinan tertinggi dalam KFA dalam masa terdekat ini, perkara (gaji) ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera agar semangat dan moral pemain dapat ditingkatkan kembali.

Sebagai jurulatih, saya perlu memastikan semangat semua pemain kekal teguh dan jika isu gaji ini tidak diselesaikan, sukar bagi saya memainkan peranan yang terbaik dalam membentuk pasukan, katanya.

Aidil bagaimanapun melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam menyelesaikan isu gaji ini dan dalam masa yang sama Aidil kini merancang untuk kembali ke Malaysia selepas menghantar permohonannya ke Kedutaan Malaysia di Singapura semalam.

Saya sudah membuat permohonan untuk kembali ke Malaysia dan hanya menunggu untuk mendapat kelulusan berserta tarikh dibenarkan untuk menguruskan perjalanan, katanya.

Sementara itu, pengurus Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan berkata, Aidil perlu melalui proses kuarantin selama 14 hari seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.