Rezeki Dari Allah

KUALA LUMPUR: Bukan saja tangkas di atas padang, penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat turut ligat dalam bidang perniagaan.

Selepas terbabit dalam beberapa perniagaan sebelum ini, Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek mengakui akan menceburi perniagaan minyak wangi pula.

Alhamdulillah rezeki pinjaman dari Allah, kata Apek menerusi akaun Instagram miliknya yang disertakan gambar bersama kereta mewah dan rumah dipercayai miliknya.

Berkat main bola dari dulu. Jual skin care sikit, selepas itu berniaga buat jamu moden. Jual gula melaka sikit, seterusnya bidang terjun nak jadi saudagar minyak wangi pula.

Difahamkan, Apek yang pernah menjadi penjaga gol nombor satu negara mengusahakan semua perniagaan itu bersama isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar.

Bukan sahaja Apek, beberapa pemain terkenal di negara ini termasuk Safawi Rasid dan Safiq Rahim juga sudah menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya kedua mereka selain bola sepak.

Kesungguhan mereka yang dikatakan sudah memiliki gaji puluhan ribu sebulan sebagai pemain bola sepak dengan terbabit dalam bidang perniagaan seharusnya dicontohi pemain lain bagi mengukuhkan lagi kewangan untuk masa depan.