Gol Lencongan Terbaik Pilihan ACL

KUALA LUMPUR: Ledakan menarik penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun lalu berpotensi dinobatkan sebagai gol lencongan terbaik sepanjang kejohanan itu.

Berdasarkan undian peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), jaringan Safawi mendahului empat pencabar lain selepas menerima 49 peratus undian daripada 127,000 pengundi setakat jam 1 tengah hari ini.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun masih belum selesa selepas hanya satu peratus sahaja mendahului pencabar terdekat, Mame Thiam dari pasukan Esteghlal.

Cabaran sengit tampak hanya wujud antara dua pemain itu selepas tiga calon lain termasuk bekas bintang Chelsea, Oscar yang mewakili Shanghai SIPG, Nam Tae-hee dari pasukan Lekhwiya dan Serginho (Kashima Antlers) hanya memperoleh satu peratus dari jumlah keseluruhan undian.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan Safawi yang juga tonggak skuad Harimau Malaya berpeluang besar untuk mengharumkan nama Malaysia dan JDT di kejohanan tertinggi Asia.

sumber : HM

Jaringan sepakan lencong dari kaki kiri yang dihasilkan pemain berusia 22 tahun terbabit pada 9 April 2019 itu juga sebelum ini sudah diundi sebagai jaringan kedua terbaik saingan ACL musim lalu.

Seluruh peminat masih mempunyai masa untuk mengundi jaringan Safawi sebelum AFC menutup proses undian jam 4 petang esok.

Posted in: Sukan