Man United Tawar Sancho jersi nombor Keramat

JADON Sancho ditawarkan peluang mengikut jejak langkah David Beckham dengan memakai jersi nombor 7 di Manchester United.Pemain sayap England berusia 20 tahun yang beraksi di Borussia Dortmund menjadi rebutan dengan kelab Jerman itu begitu terdesak mengekalkannya.Tetapi United tetap mencuba nasib dengan menawarkan kontrak lumayan selain menyediakan jersi keramat nombor 7 yang sebelum ini dipakai pemain hebat lain seperti Cristiano Ronaldo, Eric Cantona, Bryan Robson dan George Best.

Sancho muncul pemain muda paling berharga di Eropah dengan Chelsea turut berminat mendapatkan khidmatnya. Rakan sepasukan di England, Callum Hudson-Odoi minggu lalu mengakui teruja digabungkan dengan Sancho pada peringkat kelab.Tetapi United lebih mendahului saingan dengan Ole Gunnar Solskjaer mahu menjadikan Sancho sebahagian daripada skuad berwajah baharunya.Awal bulan ini, Rashford mendedahkan dia juga gembira jika dapat beraksi bersama Sancho di Old Trafford. Katanya: Saya fikir kerjasama kami di atas padang pasti bagus. Sancho pemain yang hebat.

Bagaimanapun, yuran perpindahan mungkin menjadi penghalang hasrat United apabila Dortmund menetapkan harga pemain itu £100 juta (RM539 juta).Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward sebelum ini memberi amaran ‘bisnes tidak seperti biasa’ di Old Trafford pada musim panas susulan krisis koronavirus.Dortmund pula menegaskan mereka tidak akan menerima kurang daripada harga ditetapkan walau apapun landskap ekonomi.