Siapakah Yang Bawa Marlon Alex James Ke Liga M?

Siapakah insan yang bertanggungjawab untuk membawa pemain-pemain import yang boleh kita iktiraf sebagai pemain berkualiti untuk beraksi di Liga Malaysia seperti Juan Arostegui, Bruno Martelotto, Brian Fuentes, Marlon Alex James dan sebagainya?Selain pemain di atas, pemain seperti Christian Bekamenga, Bernard Huggins dan Marcos Tavares juga antara pemain import yang berkualiti yang telah dibawanya. Impak yang ditinggalkan antara pemain-pemain import tersebut bukanlah biasa-biasa.Nama-nama pemain tersebut telah dibawa oleh seorang ejen di Malaysia yang telah diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Asia AFC iaitu Effendi Jagan Abdullah. Sebagai Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah bertanggungjawab dalam membawa masuk pemain-pemain import yang diinginkan oleh sesebuah pasukan yang beraksi di Liga

Malaysia sejak tahun 2003 yang lalu. Segalanya bermula di MPPJ FC Ini bermula apabila saya bawa pemain untuk MPPJ FC dan apabila benda itu jadi baru saya terfikir yang ia boleh dibuat perniagaan, ujarnya sambil berkata yang ketika itu beliau bekerja di kelab tersebut sebelum menjadikan kerja ejen sebagai sepenuh masa. Ketika itu, MPPJ FC adalah dibawah kendalian pengendali berpengalaman, Dollah Salleh dan mencipta kejayaan dalam sekelip mata dengan menjuarai Piala Malaysia 2003, Liga Perdana 2004, Piala Sumbangsih 2004 sebelum dibubarkan pada 2006.Agensi ejen ketika itu kurang, hanya ada satu, dua ejen. Masa itu saya belum serius. Ketika itu saya berada dalam pasukan MPPJ FC dan mahu tolong. Apabila menjadi, ada pasukan lain juga minta, barulah saya mulakan perniagaan saya, jelasnya lagi.Ketika MPPJ menjulang kejuaraan Liga Perdana 2004, beberapa pemain dibawanya menjadi antaranya penjaring terbanyak musim tersebut, Brian Fuentes bersama Selangor, Juan Arostegui bersama MPPJ FC dan Marlon Alex James di MK Land FC.

Marlon Alex James

Bagaimana mahu jadi ejen Syarat yang dahulu, anda perlu lalui ujian yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA). Bukan senang tau. Lepas dapat keputusan yang baik, barulah anda dapat pohon untuk jadi ejen yang sebenar, ceritanya mengenai syarat-syarat lama.Sebelum ini, anda perlu letak wang cagaran bernilai USD 100,000. Namun, selepas itu, ianya telah dilonggarkan dengan anda perlu mengambil perlindungan insurans dalam lingkungan Euro 1 juta dengan premium setahun sekitar RM10,000, tambahnya lagi. Menurutnya lagi, bermula pada tahun 2014, pendaftaran perlu dibuat hanya melalui Persatuan Bolasepak Malaysia . Tiada lagi ujian dan mereka hanya perlu hantar maklumat kepada FAM dan jika lulus, anda perlu bayar RM10,000 untuk kali pertama. Dan daripada situlah, makin ramai mahu jadi ejen. Ada yang tahu dan yang tidak tahu. Kemudian, setiap tahun mereka perlu bayar RM5000 dan ada syaratnya seperti perlu berkecuali dan tidak boleh pegang jawatan dalam mana-mana pasukan, ulasnya lagi.

Ejen cari pemain atau pemain cari ejen? Bercerita mengenai perkara ini, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan kepentingan networking untuk menjadikan tugas sebagai ejen ini lebih mudah dan berkesan.Kelab akan beritahu pemain yang bagaimana yang mereka mahukan untuk musim ini dan berapa bajet yang ada. Kita sebagai ejen, ada kita punya rangkaian. Bukan semua pemain di luar itu kita punya, kita akan bekerjasama dengan ejen yang lain, jelasnya.Effendi Jagan Abdullah turut berkata yang ada banyak kaedah untuk menilai harga pemain dan memberikan satu contoh iaitu dengan menggunakan laman sesawang https://www.transfermarkt.com sebagai rujukan untuk mengetahui nilai pemain. Di sana anda boleh letak nama pemain dan boleh tahu harganya. Daripada harga tersebut, kita boleh tahu sedikit sebanyak kemampuan pemain itu,” tambahnya lagi sambil berkata adakalanya beliau akan turun meilihat sendiri pemain tersebut. Risiko dan pengalaman menjadi ejen Menurutnya, dalam bola sepak dan juga kerjaya sebagai ejen ini sudah tentu ada risiko sebagaimana kerjaya lain. Sebagai sebuah syarikat tentunya perlulah memiliki kewangan yang kukuh agar perniagaan kita tersebut mampu bertahan lama.

 Selain itu, adakalanya, pemain yang dibawa yang dirasakan mampu ‘meletup’ tiba-tiba tidak menjadi dan sebaliknya. Kita bukan beli jam. Kita ‘beli’ orang, macam-macam masalah boleh berlaku, jadi ia sebenarnya agak mencabar, ujarnya bersama analogi. Jelasnya, apa sahaja masalah yang pemain import itu hadapi di Malaysia, sudah tentu ejen adalah orang pertama yang akan dicarinya waima tandas di rumah mereka rosak sekalipun. Dan sudah tentulah, jika gaji tertunggak, ejen turut akan jadi tempat rujukan.Kita punya kerja adalah daripada sebelum pemain itu menyertai pasukan sehinggalah beliau meninggalkan pasukan. Banyak kerja, jelasnya sambil meminta kepada yang berminat untuk menjadi ejen agar belajar terlebih dahulu bagaimana ‘dunia’ ejen ini. Penutup Menjadi ejen bukanlah sekadar membawa pemain import untuk menyertai sesebuah pasukan sahaja. Banyak aspek perlu dipelajari untuk menjadi seorang ejen yang benar-benar bertauliah dan sudah tentu networking memainkan peranan yang penting.Bagi yang berminat untuk mendalami bidang atau kerjaya ini, selami dahulu ‘dunia’ ejen. Effendi Jagan Abdullah turut berkata banyak dokumen perlu disediakan dan sistem yang perlu difahami oleh seseorang ejen ketika membawa pemain import.Effendi Jagan Abdullah bukan sahaja membawa Juan Arostegui, Bruno Martelotto, Marlon Alex James dan lain-lain, malah, pemain yang pernah ke Piala Dunia 2006, Bosko Balaban juga antara pemain bintang yang pernah dibawanya ke Malaysia.