Apa Jadi Dengan Pas Bermusim Penyokong?

Perjalanan Liga Malaysia Liga M yang terjejas akibat COVID-19 bukan saja memberi kesan kepada ‘kantung’ pasukan, malah menimbulkan tanda tanya mengenai nasib penyokong yang sudah melanggan pas bermusim bagi musim ini.Ia susulan Liga M masih lagi ditangguhkan dan belum ada kata putus daripada Persatuan Bolasepak Malaysia FAM dan Liga Bolasepak Malaysia MFL mengenai bila saingan liga tempatan akan bersambung.

Terdapat juga kemungkinan saingan musim ini akan berlangsung tanpa penyokong selepas disambung semula apabila Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan menyarankan tiada perhimpunan awam antara enam bulan hingga setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan PKP berakhir.Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara JUFC, Safarizal Mohd Sobri menjelaskan terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan persatuan negeri atau kelab dalam menangani kebimbangan pemegang pas bermusim. Katanya, antara cara penyelesaian boleh dilakukan sekiranya liga dibatalkan atau dilangsungkan tanpa penyokong adalah persatuan negeri boleh memulangkan semula bayaran langganan pas bermusim kepada penyokong atau membawa pas itu ke musim depan.

Kita berharap FAM dan MFL dapat membuat keputusan cepat mengenai perancangan bagi perjalanan liga musim ini untuk membolehkan persatuan negeri atau kelab memutuskan jalan penyelesaian berkenaan pemilik pas bermusim. Selagi FAM dan MFL tidak membuat keputusan, persatuan negeri atau kelab juga dilihat sukar untuk membuat keputusan termasuk mengenai nasib pemegang pas bermusim, katanya kepada BH Sukan. Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu PETEH Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris mencadangkan supaya tempoh sah pas bermusim dilanjutkan mengikut tempoh penyokong tidak dapat ke stadium sama ada ketika PKP atau sepanjang liga berlangsung tanpa penyokong. Beliau menjelaskan pendekatan itu dilihat lebih adil buat persatuan dan penyokong berbanding langkah memulangkan semula wang langganan kepada pemilik pas bermusim.

Katakanlah PKP tujuh bulan, jadi kita anjak tempoh sah pas bermusim tujuh bulan ke depan. Maksudnya kalau tempoh sah pas berakhir pada Januari tahun depan, kita anjak tarikh tamat tempoh itu ke Ogos tahun depan. Ia sebagai ganti balik tempoh yang terjejas itu. Ia akan mewujudkan situasi menang-menang buat persatuan dan pemilik pas. Kalau liga beraksi tanpa penyokong pun sama, sebab perintah itu kita tertakluk kepada arahan kerajaan, jadi untuk berlaku adil maknanya kena anjak.Saya fikir persatuan pun ada budi bicara mereka mengenai penyelesaian dalam isu ini dan kita kena faham penyokong juga ada yang terkesan akibat C0VID-19. Kalau persatuan nak kena bayar balik pun susah juga kerana ia membabitkan kewangan, katanya.

sumber : BH