Peminat BolaSepak Liga M Mungkin Akan Kecewa

KEPUTUSAN Liga Malaysia (Liga M) berkemungkinan tangguh, bermain tanpa penonton atau tetap diteruskan seperti biasa akan diketahui esok apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengadakan sidang media khas berkaitan isu Covid-19. FAM menerusi kenyataan media memaklumkan mesyuarat khas itu turut membabitkan pihak berkepentingan bagi membincangkan perkara terbabit secara lebih terperinci sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Datuk Ab Ghani Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama rakan kongsi dan pengurusan pasukan bagi membincangkan berkaitan perkara terbabit. “Esok akan menentukan keputusan sama ada Liga M diteruskan atau sebaliknya dan isu berkaitan C0vid-19 adalah serius seterusnya perlu tindakan lanjut. “Hari ini kita sudah berjumpa rakan kongsi, pengurusan pasukan dari Liga Super sehinggalah peringkat Piala Presiden termasuk penaja bagi membincangkan secara terperinci berkaitan perkara ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, peningkatan kes C0vid-19 yang semakin meningkat di negara ini mendorong Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPS) untuk menangguhkan penganjuran acara sukan tempatan dan antarabangsa di Malaysia. PPS dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 12 Mac lalu mengeluarkan kenyataan untuk menangguhkan sebarang perhimpunan membabitkan orang ramai bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.