Tunggu satu lagi penaja

NILAI tajaan Telekom Malaysia (TM) untuk saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun ini adalah kira-kira RM30 juta untuk tiga musim, manakala CIMB kira-kira RM10 juta bagi dua musim.

Ini bermakna, kemungkinan semua pasukan akan berkongsi sebanyak RM15 juta untuk musim ini yang akan dibahagikan kepada 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana.

Menurut sumber, nilai berkenaan sememangnya berkurangan daripada tajaan yang diperoleh pada 2018 di mana MFL ketika itu berjaya mendapatkan nilai keseluruhan RM496.6 juta untuk tempoh lapan musim dari 2018 hingga 2025.

Malah berdasarkan perjanjian lama itu, MFL akan menerima RM51.7 juta semusim untuk tempoh kitaran pertama (2018-2021) sebelum jumlah berkenaan meningkat kepada RM68.3 juta pada kitaran kedua (2021-2025).

“Kalau nak buat perbandingan dengan sebelum ini memang jauh sangat jumlah tajaan kali ini. Masa itu pun (2018) setiap pasukan dapat RM3 juta bagi Liga Super dan RM1 juta Liga Perdana sebab tajaan ketika itu memang banyak.

“Tapi kali ini mungkin kurang daripada sebelum ini buat setiap pasukan tapi ia belum muktamad, kemungkinan nilai berkenaan akan bertambah lagi sebab MFL sedang berunding dengan satu lagi penaja yang agak terkemuka.

“Ia untuk tajaan Liga Perdana dan kalau jadi, mungkin tajaan musim ini bertambah. Bila bertambah, maknanya lagi banyak dana yang akan diraih pasukan musim ini. Tapi untuk setakat ini, memang TM dan CIMB adalah penaja yang besar untuk Liga M,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, TM dan CIMB mengikat kontrak penajaan dengan MFL namun nilai sebenar tidak didedahkan oleh Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jelas Hamidin, tindakan itu bagi menghormati perjanjian yang dimeterai bersama dua organisasi terbesar tanah air itu yang meminta agar jumlah tajaan dirahsiakan.

Namun Hamidin menegaskan, nilai sebenar tajaan berkenaan akan dimaklumkan kepada semua rakan kongsi dalam masa terdekat.

Sumber:HM