Kami tidak boleh paksa Salah – Gharib

KAHERAH: Pembabitan Mohamed Salah bersama negaranya Mesir di Olimpik Tokyo akan diputuskan sendiri oleh pemain itu dan kelabnya Liverpool, kata pengendali skuad Olimpik Mesir Shawky Gharib.

Laporan media negara itu yang mendedahkan nama Salah tersenarai dalam skuad awal 50 pemain mencetus kebimbangan pemain itu tidak akan bersama Liverpool di awal musim Liga Perdana Inggeris akan datang.

Namun Gharib menjelaskan mereka tidak boleh memaksa Salah bersama skuad Olimpik ketika kelab juara Eropah itu juga memerlukan khidmatnya.

“Penyertaan Salah dengan pasukan Pharaoh di Tokyo adalah keputusan yang akan diputuskan oleh Salah, kelabnya Liverpool serta pengendalinya Jurgen Klopp,” kata Gharib.

“Kami tidak boleh memaksa Salah bersama kami kerana peraturan FIFA tidak memaksanya berbuat demikian.”

Kejohanan bolasepak Olimpik adalah untuk pemain bawah 23 tahun tetapi tiga pemain lebih umur dibenarkan di dalam setiap skuad. FIFA bagaimanapun tidak mewajibkan kelab untuk melepaskan pemain melebihi had usia untuk temasya berkenaan.

Salah antara tonggak Liverpool yang memenangi Liga Juara-Juara musim lalu dan kini mereka mendahului Liga Perdana Inggeris di mana pemain Mesir itu menjadi penjaring terbanyak mereka dengan 14 gol.

Gharib bagaimanapun berharap penye rang dan pemain bolasepak paling bernilai pernah Mesir miliki itu dapat menyarung jersi negaranya di temasya sukan terbesar dunia dari 22 Julai hingga 8 Ogos nanti.

“Salah salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia dan mana-mana pasukan akan berharap memiliki pemain sepertinya di dalam skuad. Saya menyenaraikan Salah dalam skuad 50 pemain sebelum hanya 18 akan dibawa ke Tokyo,” katanya.

 

Sumber: REUTERS via BH / Instagram @mosalah